PERKAKASAN MAKMAL UNTUK PENYEDIAAN UBAT SECARA EXTEMPORANEOUS (PART 1)
Assalamualaikum semua.
Kali ini admin akan menerangkan serba sedikit mengenai perkakasan makmal yang digunakan untuk membuat ubat secara kaedah extemporaneous.
Bagi pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang farmasi, sama ada diploma mahupun ijazah, anda diwajibkan untuk mengetahui cara penggunaan perkakasan-perkakasan berikut dengan betul.
1) BIKAR KACA (BEAKER)
Bikar kaca digunakan untuk mengacau, mengadun ataupun memanaskan acuan sebatian ubat pelajar dalam bentuk cecair.
Kebanyakan bikar yang digunakan adalah dalam bentuk silinder dan memiliki sukatan mililiter yang berbeza pada dinding bikar, bergantung kepada kapasiti bikar tersebut.
Kebiasaanya, saiz bikar yang digunakan untuk membuat ubat secara extemporaneous adalah 50ml, 100ml dan juga 200ml.
2) KELALANG ERLENMEYER (ERLENMEYER FLASK/CONICAL FLASK)
Kelalang Erlenmeyer digunakan untuk memusarkan acuan pelajar tanpa berisiko untuk tertumpah keluar daripada kelalang.
Leher kelalang yang tirus bertujuan untuk proses kondensasi berlaku, sekaligus boleh mengurangkan wap dari sebatian ubat pelajar daripada terus teruwap ke udara ketika proses pemanasan.
Kebiasaanya, saiz kelalang Erlenmeyer yang digunakan ketika pembuatan ubat secara extemporaneous adalah 125ml, 250ml, 500ml.
Pensyarah mungkin akan meminta para pelajar untuk memanaskan purified water untuk digunakan ketika pembuatan ubat menggunakan kelalang Erlenmeyer bersaiz 500ml.
3) SILINDER PENYUKAT (GRADUATED MEASURING CYLINDER)
Silinder penyukat digunakan untuk menyukat kuantiti cecair dengan tepat.
Sukatan cecair yang disukat dengan menggunakan silinder penyukat ini adalah lebih tepat dan jitu berbanding menggunakan radas kaca yang lain, sebagai contoh bikar kaca.
Kebiasaanya, saiz silinder penyukat yang digunakan adalah 10ml, 20ml, 50ml dan 100ml.
Jika pelajar ingin menyukat cecair sebanyak 40ml, silinder penyukat 50ml akan memberi sukatan yang lebih tepat berbanding silinder penyukat yang bersaiz 100ml. Oleh itu, pelajar perlu memilih saiz yang sesuai agar isipadu cecair yang disukat untuk penyediaan ubat lebih tepat.